Thursday, August 12, 2010

aku, suatu ketika dahulu, ketika menyambut Ramadan

Part I (1 Ramadhan hingga 15 Ramadhan)

Zaman aku membesar dan melalui liku-liku kehidupan sebagai anak kampung banyak benarlah yang hendak diingatkan jika dimenung-menungkan. Namun, aku, melalui entri ini ingin mengungkap kembali zaman kanak-kanak aku, terutamanya ketika menyambut bulan Ramadhanlah. Dulu, zaman kanak-kanak, aku menyambut bulan Ramadhan dengan perasaan yang amat seronok tetapi menghadapinya dengan penuh keperitan pula. Keseronokannya ialah kerana selepas berhempas-pulas berpuasa dan walaupun tidak diberi upah oleh ibu bapa (tidak seperti mana sesetengah anak-anak zaman ini yang dijanjikan upah atau hadiah itu ini jika menamatkan 30 hari berpuasa) kami dapat pula menyambut hari raya. Keperitannya ialah melakukan ibadah puasa itu sendiri.

Seingatku juga, entah berapa kali aku melihat jam untuk mengira jumlah waktu yang masih berbaki dalam satu hari berpuasa itu. Ahh, waktu lambat benar bergerak. Ada sekali itu juga, aku terlupa bahawa aku berpuasa, lalu aku dengan selambanya meneguk air. Namun, aku terpaksa meluahkan semula air kerana teringatkan bahawa aku sedang berpuasa. Motivasinya cuma satu. Kalau kita berpuasa, Tuhan akan memberi banyak pahala. Emak juga pernah berkata kepada adik-adik aku yang masih kecil lagi dengan kata-kata, “siapa yang tak puasa, dia tak boleh raya.” Aku terkesan juga dengan kata-kata emak itu. Alangkah tak seronoknya jika tak boleh sambut raya. Itulah ayat-ayat yang biasa emak katakan kepada aku dan mungkin adik-adik aku yang lain. Kadang-kadang emak berkata, “alah, tinggal lagi 25 hari hendak puasa. Tak lama lagi, rayalah.” Cabarannya pula ialah aku tidak mahu kalah berpuasa dengan kawan-kawan aku yang sebenarnya ialah sepupu-sepupu aku.

Satu lagi cabaran bulan puasa ialah untuk bangun bersahur atau orang kampungku menyebutnya ‘bangkit soq’. Seingatku, aku punyalah liat bangkit soq sebab di kampung kalau waktu malam, cuaca sangat sejuk pada waktu itu. Iyalah, keliling rumah dipenuhi pokok-pokok menghijau. Ada sekali itu, aku dikejutkan supaya bangkit soq tapi aku terus turun ke bilik air dan mandi. Aku ingatkan, emak mengejutku supaya pergi ke sekolah. Rupa-rupanya, bangkit soq. Punyalah malu dan punyalah rugi kerana mandi di tengah malam. Begitulah aku berfikir pada masa itu.Biasanya, selepas beberapa hari berpuasa, barulah kami memulakan aktiviti khas menyambut bulan Ramadhan. Seingatku, aku paling seronok bulan ini kerana membayangkan keseronokan berhari raya.

Namun, lebih jauh daripada itu juga, aku seronok menyambutnya kerana pengisian bulan inilah. Seingatku, dalam bulan inilah sahaja kami membuat aktiviti yang tak pernah kami buat dalam bulan-bulan lain. Salah satunya ialah bermain meriam tanah, meriam tin, meriam katak atau bermain meriam koq!Umum mengatakan bahawa meriam buluh amatlah berbahaya. Aku tak bermainlah meriam buluh. Setahuku, meriam buluhpun bukanlah famous sangat di kampungku. Ramai yang bermain meriam tin susu atau meriam tanah. Tetapi, aku gemar bermain meriam koq. Meriam jenis ini paling senang hendak dibuat dan tidaklah bahaya. Aku tak minat bermain meriam buluh kerana orang cakap bahaya dan aku sendiri pun bukan jenis yang begitu gigih menyusahkan diri mendapatkan buluh dan menjadikannya meriam pula.Apa yang menyeronokkan sangat bermain meriam ini? Hmm, aku rasalah, yang paling aku suka ialah apabila melihat sumbatan daun pisang pada muncung meriam yang terpelanting jauh ke depan setiap kali meriam itu meletup.

Selebihnya, bunyi meriam itu sendirilah yang membuatkan aku seronok bermain meriam. Bila kami bermain meriam? Oh, ada beberapa sesilah. Mula-mula sekali, sebelah petang iaitu sekitar selepas solat Asar. Selalunya kami bermain meriam selepas menonton rancangan ‘Rumah Kedai’ di TV3. (aku harap tahun ini TV3 menayangkannya semula). Sebenarnya, taklah lama sangat kami bermain meriam. Lebih kurang setengah jam sahaja. Selepas itu, kami lepak-lepaklah di rumah sebab kadang-kadang atau selalunya masa itulah nanti kami menjadi pekerja kurier yang menghantar juadah yang emak aku buat ke rumah jiran-jiran kami yang lain. Jiran-jiran kami pun bukannya orang lain. Mereka semua terdiri daripada pak ndak, pak long, pak cik, dan rumah nenek dan tuk wan juga terletak bersebelahan dengan rumah kami. Sesi kedua bermain meriam ialah selepas solat maghrib iaitu selepas berbuka puasa.

Kadang-kadang kami saling melawan tembakan meriam dengan anak-anak jiran kami yang juga merupakan sepupu kami. Tapi taklah lama sangat kami bermain meriam kerana selepas itu kami pakat-pakat pergi ke masjid pula sebab ada disediakan moreh, selepas selesai solat tarawih nanti. Lagipun, ayah dan emak akan bekerjasama dan bersatu hati untuk memarahi kami jika kami tak pergi ke masjid. Kami tak maulah kena marah sangat. Apabila kami pergi ke masjid, sekali lagi kami berjumpa dengan kawan-kawan kamilah. Dalam perjumpaan itulah kami kemudiannya berbual-bual tentang bunyi meriam kami tadi sehinggalah salah seorang daripada kami kemudiannya mencadangkan satu lagi permainan ganjil pada bulan puasa. Permainannya begitu menyeronokkan walaupun amatlah bahaya. Permainannya sangat senang dan ringkas.

Caranya, kami ambil sabut kelapa yang bercambah di kampung kami dan kami nyalakan di hujungnya sehingga menjadi bara. Kemudian, kami selitlah pada reranting basikal kami. Selepas itu, kami berkayuhlah keliling kampung dan bara api yang ada pada hujung sabut itupun nampaklah merah apabila basikal di kayuh. Bulatan merah dan kadang-kadang ada percikan api yang terkeluar setiap kali kayuhan dibuat juga menyebabkan suasana begitu meriah. Kami kayuhlah basikal sekeliling kampunglah untuk menunjuk-nunjukkan kepada kumpulan budak-budak kampung yang lain yang belum ada idea sebaik itu. kami tak takut hantu pun kerana emak dan nenek kami selalu cakap bahawa hantu dan setan kena ikat dalam bulan puasa.

Anak-anak muda yang baru pulang dari solat isya dan hanya bertarawih beberapa rakaat sahaja melepak di kedai runcit turut ketawa bagai nak pecah perutlah menengokkan kebiulan kanak-kanak di kampung mereka bermain dengan api. Haih, tapi syukurlah tak seorang pun daripada kami yang tercedera dengan permainan api pada basikal itu. Kemudian, apabila waktu solat tarawih hampir selesai, kami cepat-cepatlah pergi ke masjid semula sebab tidak lama selepas itu, moreh akan diedarkan. Kemudian, sebelum pulang ke rumah masing-masing, kami berjanjilah untuk bermain lagi seperti malam itu pada malam esoknya. Namun, ada ketikanya, rancangan kami tergendala apabila ada antara kami yang bermulut bacul menceritakan aktiviti kami kepada ibu bapanya.

Kemudian, seorang demi seorang dimarahi oleh ibu bapa masing-masing. Guru besar sekolah kami pada masa itupun bukan main lagi garangnya. Beliau dengan ikhlasnya turut melantik beberapa orang spy yang tidak boleh dipercayai sebenarnya untuk menspykan aktiviti kami di masjid. Adalah sekali itu, aku dan kawan-kawan aku yang merupakan sepupuku dipanggil oleh guru besar yang besar dan garang itu kerana kami dituduh berbuat bising di koridor masjid. Tetapi, memandangkan salah seorang daripada sepupuku itu pula anak ketua JKKK kampung kami iaitu anak pak long aku, guru besar itu dengan baiknya pula melepaskan kami tetapi dengan amaran terakhir kali yang pertamalah.Aku belum puas lagi bercerita. Kali ni pasal aktiviti emak dan kakak kami pada waktu petang bulan puasa.

Emak kami pandai memasak, menggoreng atau apa-apa lagi skill memasak yang lainlah. Kakak kami pun menjadi pandai setelah selalu sangat terpaksa membantu emak kami memasak pada setiap petang bulan puasa. Jadi, kami seronok juga menanti setiap petang melihat apakah juadah yang emak kami masak. Pada masa itu, di kampung kami bolehlah dikatakan semua penduduk kampung menyediakan juadah sendiri. Jarang dibeli dari luar seperti sekarang ini. Malah, aku sendiri tidak pernah tahu tentang wujudnya bazaar Ramadhan. Lagipun, juadah yang emak buat sendiri lebih sedap. Satu keseronokan yang berlaku dalam bulan Ramadhan tetapi tidak pada bulan lain di kampung kami ini ialah aktiviti bertukar-tukar juadah makanan terutamanya kuih-muih.

Kadang-kadang, semasa kami menghantar kuih-muih ke rumah jiran kamilah kami sempat pula berselisih dengan sepupu atau kawan kami yang turut pula menghantar juadah ke rumah kami.Biasanya, selepas 10 hari berpuasa, semangat sudah semakin meningkat. Puasa pun tidaklah lagi perit seperti pada mulanya. Rasa aku, dalam tempoh-tempoh begini, aku sudah mula kurang melihat jarum jam pada dinding rumahku. Aku lebih leka dengan meriam dan mula menyimpan wang sikit-sikit. Bukan hendak membeli baju raya tetapi membeli mercun dan bunga api. Aku suka bermain mercun katak. Bentuknya bukan macam katakpun. Iras-iras pun tak ada. Cuma, warnanya hijau dan setiap kali mercun ini dicucuh, dia akan meletup beberapa kali. Setiap kali mercun ini meletup itulah dia akan melompat. Jadi, kami gelarkanlah mercun ini mercun katak. Kami pun ikut melompatlah setiap kali mercun ini melompat. Itulah keseronokannya.

Selain itu, aku paling suka membeli mercun lada. Bentuk mercun ini seperti mercun papan yang orang Cina bakar sempena sambutan kongsifachai. Kami menggelarnya mercun lada kerana saiznya yang lebih kecil dan jika ketika membakarnya tidak sempat pula dicampakkan ke tanah, kesannya hanyalah rasa kebas pada jari. Rasa kebas itu tidaklah lama. Aku, bagaimanapun kurang suka bermain mercun papan kerana saiznya besar dan letupannya kuat. Selain itu, sumbunya bukan main cepat lagi menyala. Silap hari bulan, bengkaklah jari. Tetapi sebagai anak kampung, aku tidak menjadikan kejadian itu sebagai batu penghalang untuk memeriahkan lagi malam-malam bulan puasa.Pernahlah sekali tangan aku bengkak terkena mercun tetapi aku tidak laporkan kepada emak aku pasal itu.

Aku sendiri yang ubatkan penyakitku sendiri. Aku, pada asalnya bukanlah berdikari sangatpun, tetapi aku tidak melaporkan kepada emak kerana bimbang emak akan bekerjasama dengan ayahku buat sekian kalinya memarahi aku. Dan, seperti yang aku sedia tahu, mereka akan menggunakan kuasa keibubapaan mereka untuk menghalangku bermain mercun. Alangkah tak seronoknya nanti.Pada malam-malam ke sepuluh puasa dan ke atas, kampung kami mula bising dengan bunyi cucuhan meriam dan bunyi letupan mercun. Kanak-kanak pun bukan main meriah dan gembira lagi bermain bunga api. Mereka membeli bunga api yang pemegangnya besi dan mereka menyalakannya beberapa batang serentak dan mengangkutnya pada pokok bunga.

Kami pun selalu membeli mercun telur naga. Sebelum kami nyalakan cucuhannya, kami bersiap sedia dengan lastik. Selepas cucuhannya menyala, kami lastiklah mercun itu ke langit malam. Wah, percikan apinya memang cantik. Kami memang kreatif pasal itu. Polis tak tangkapkah orang yang bermain mercun dan bunga api? Pada masa itu, mercun dan bunga api diharamkan. Setahu aku, mula-mula sekali, kilang bunga api dan mercun dilarang beroperasi di Malaysia sejak kebakaran dan letupan kilang bunga api di Sungai buloh, Selangor. Kemudian, selepas ramai budak-budak yang mengalami kecederaan akibat bermain mercun, polis marah kalau kanak-kanak bermain mercun. Penjual mercun pun menjualnya secara sembunyi-sembunyi. Tetapi di kampung kami yang agak pedalaman pada masa itu, polis tidak masuk meronda.
Sudahnya, kampung kami tetap meriah dan ceria dengan bunyi letupan meriam dan mercun setiap kali bulan puasa. Ah, alangkah seronoknya saat-saat itu!

okeyh, byes n selamat berpuasa.
alias derais

No comments: