Tuesday, August 17, 2010

Aku di kala usia muda

Ramadan Kareem.

Hari ini telah masuk hari ke-7 kita umat Islam berpuasa. Bagi saya tidak terasa letihnya puasa itu berbanding dengan anak saya yang baru berusia 8 tahun. Melihat keadaan anak sendiri berpuasa itu, teringat juga saya pada zaman-zaman kanak-kanak saya dahulu. Sememangnya saya tidak dapat mengimbau kesemua memori itu, tetapi ada beberapa perkara sahaja yang amat dikenang. Satu sahaja yang boleh dikongsikan bersama di sini adalah "ketidaksahan" puasa saya. Memang pada zahirnya saya dikatakan berpuasa tetapi sebenarnya tidak. Mengapa ia begitu? Ini kerana pada ketika saya mengambil wuduk ketika hendak bersolat, bukan sahaja mengerjakan wuduk itu. Malah air itu terus dimasukkan dalam mulut. Maka hilanglah dahaga saya itu. Dengan segar bugarnya saya meneruskan puasa saya itu. Bila ditanya oleh mak dan pak saya, jawapan yang keluar " cheq posa la". Dulu, saya bersekolah rendah di Endau. Pada sebelah petangnya saya akan ke sekolah agama. Masa itulah saya ambil peluang minum sambil berwuduk. Dengan hanya beberapa tegukan air sahaja ianya telah memberi nikmat kekenyangan sementara sebelum tibanya waktu berbuka.

Ini adalah kisah hidup saya yang memang tidak dapat dilupakan hingga kini. Pengalaman saya tidak sama dengan Cikgu Alias memandangkan berbeza gender antara kami. Kenakalan antara kanak-kanak lelaki dan perempuan tidak sama. Saya tidak minat pada mercun dan bunga api. Hanya menjadi penonton dari jarak jauh kerana takut terkena, nanti tidak boleh pergi beraya. Kanak-kanak perempuan seperti saya selalunya akan tidur, menonton tv atau membantu emak di dapur. Sebetulnya saya lebih banyak tidur daripada membantu emak. Aduh!!! betapa malasnya anak emak ini ketika itu. Tetapi tidak lagi kini.

Pengalaman raya pula saya ceritakan zaman remaja. Ketika itu saya sudah kembali ke negeri asal tercinta, Kedah. Di akhir Ramadan mesti saya akan membuat satu jenis kuih raya. etiap malam. Antara yang akan dibuat tentulah kuih siput, kuih makmur dan kuih samprit. Kira dikategorikan pandai jugalah saya ketika itu, memandangkan kuih-kuih itu menjadi semuanya. Malam raya pula, saya akan membuat sebiji kek. Membuat kek amat mudah, kerana saya hanya membeli ramuan yang telah siap. Hanya perlu bancuh dan bakar sahaja. Walaupun ianya senang tetapi jika tidak betul caranya, kek tetap tidak akan menjadi. Tiap kali raya mesti ada bekas ditinggalkan pada jari jemari atau tanganku ini, akibat terkena ketuhar panas.

Tetapi kini, semuanya berubah. Entah kenapa sekarang ini saya sudah malas untuk membuat kek. Jika hendak makan, hanya perlu ke kedai. Pilihlah mana yang disukai. Ambil, bayar dan makan sahaja. Semuanya sudah berubah sekarang. Bagi saya, pengalaman puasa dahulu dan sekarang memang berbeza. Apa-apapun, puasa tetap sama walau penghayatannya tidak berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Ada yang berpuasa kerana orang lain berpuasa, ada pula yang dipaksa berpuasa dan sebaiknya berpuasalah kerana Allah. Isikanlah ibadah puasa rakan-rakan dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ibadah lain boleh dilihat oleh orang lain tetapi puasa hanya diantara kita dan Allah sahaja yang mengetahuinya. Amin.

Selamat berpuasa.

Diyah

No comments: