Tuesday, December 6, 2011

Permainan lama yang kian dilupakan kini....

Salam cuti persekolahan.

Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, cuti sekolah akan tamat. Pada ketika ini, sudah semestinya anak-anak sedang bergembira di rumah atau di kampung dengan aktiviti bebas mereka. Buku-buku dibiarkan dulu berehat tanpa disentuh. Mata banyak tertumpu pada tv atau permainan moden zaman sekarang. Manakala bakal hero Malaya pula ramai yang kecut perut kerana bakal "dipotong" pada musim cuti sekolah. Alhamdulillah hero Malaya saya sudah selamat "dipotong" pada 26 November lalu dan kini sudah kembali aktif menyepak bola ke sana sini.

Kali ini saya nak menyembang mengenai jenis-jenis permainan zaman kanak-kanak saya. Memang meriah dimainkan. Pantang sahaja ada masa, terus ajak rakan-rakan berkumpul. Di bawah ni saya senaraikan permainan tradisional yang sering saya sertai dan main bersama-sama adik beradik dan kawan-kawan. Antaranya :

1) Main toii (galah panjang. Kena mainkan tempat yang luas sebab nak buat garisan.
2) Cakplong yang mana permainan tembak-tembak guna buluh kecik dan buah terung belanda. Permainan ini khas untuk lelaki tetapi apakan daya, menarik minat budak-budak perempuan juga sebab boleh tembak orang sesuka hati.
3) Main ceper (tudung botol)
4) Main selambut (batu semban)
5) Zero point (main getah. Saya memang 'tera' ni. Walaupun ketinggian tak seberapa, tapi boleh lepas aras kepala si pemegang.
6) Main baling kasut (yang ni aku sendiri lupa nama permainan yang orang Kedah panggil)
7) Congkak, tapi istimewanya guna biji getah sebagai buah dan lubang rumah hanya korek tanah sahaja. Balik rumah sah-sah kena marah, sebab kuku hitam penuh dengan tanah.
8) Aci perambat atau main ligan-ligan.
9) Main sorok-sorok
10) Main dangau atau main mak-mak...

Saya sebenarnya ingin berterima kasih pada Siri Animasi Upin dan Ipin yang mana banyak memperkenalkan permainan dulu-dulu dalam siri tersebut. Kalau tiada siri tersebut, anak-anak saya sendiri tidak tahu nama permainan dan cara bermain permainan yang telah dimainkan oleh mak ayahnya masa kecil. Tabik spring untuk Penerbit siri tersebut. Memang memartabatkan Malaysia walau hanya melalui siri kanak-kanak sahaja. Ikhlas saya akui, saya sendiri sudah lupa banyak permainan tradisional ni. Selepas menonton bersama anak-anak dan ditanya bagaimana hendak bermain permainan itu, barulah saya tahu bahawa kesan siri itu sebenarnya besar kepada penonton cilik. Rasa ingin tahu dan ingin meneroka keseronokan itu ada pada sebilangan kanak-kanak yang sering menonton siri tersebut. Tahniah sekali lagi buat Penerbit dan orang-orang kuat disebalik tabir siri tersebut.

Persoalannya sekarang, adakah permainan-permainan ini sesuai dimainkan pada zaman kini? Atau masih samakah keseronokan itu dirasakan pada kanak-kanak zaman ini?

Tepuk dada tanya selera.

Diyah