Tuesday, October 26, 2010

CUTI SEKOLAH BAKAL BERMULA

Salam rakan-rakan.

Agak menyepi blog ini sejak ramadhan yang lalu. Pada anggapan saya, mungkin rakan-rakan kita semua amat sibuk dengan tugasan hakiki. Memang diakui, saya sendiri juga amat sibuk dengan tugasan di pejabat apatah lagi di rumah. Bukan tidak mahu mencoretkan apa-apa dalam blog kesayangan ini. Tetapi perlu mencari bahan yang sesuai dan baik untuk dikongsikan bersama.

Minggu ini, sudah beberapa sekolah yang telah mengadakan peperiksaan akhir tahun. Hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi, cuti sekolah bakal menjelma. Anak-anak kita nampaknya semakin tidak sabar untuk menantikan detik itu. Rasanya dalam fikiran masing-masing, kemanakah mereka akan dibawa berjalan-jalan untuk makan angin pada kali ini. Bagi mereka yang mempunyai kampung halaman, sudah tentulah kampung halaman tempat dituju. Lagi bahagialah sekiranya ibu bapa mereka merupakan pendidik. Masa inilah satu keluarga akan berada di kampung dalam tempoh masa yang agak lama. Ohh! seronoknya (meminjam bait lagu raya nyanyian Azlina Aziz). Bagaimana pula dengan anak-anak yang ibu bapa bekerja waktu pejabat? Oh, masa inilah terkeluarnya idea-idea kreatif anak-anak dalam usaha memujuk ibu bapa masing-masing untuk membawa mereka ke satu destinasi menarik untuk mengisi masa cuti ini.

Apa sahaja cara yang mereka utarakan. Kita sebagai ibu bapa cubalah penuhi kehendak mereka. Mungkin cara itu akan memberi mereka untuk melepaskan penat lelah seharian ke sekolah. Cara membawa mereka berjalan adalah satu terapi yang baik untuk mereka mencari semangat baru untuk lebih rajin ke sekolah pada tahun hadapan.

Sebut mengenai sekolah, tiba-tiba teringat saya pada sekolah kita. Baru-baru ini, saya pulang ke kampung dan didapati agak banyak berubah pada sekolah itu. Banyak bangunan yang telah dibina. Tahniah kepada semua pentadbir dan para guru sekolah kesayangan kita itu. Semoga dengan kepesatan yang telah dibuat dapat melahirkan ramai lagi pelajar-pelajar cemerlang untuk sama-sama menabur bakti di negara kita yang amat dicintai.

Baiklah, sehingga bertemu lagi dilain catatan. Salam 1Malaysia. Salam Perpaduan.

Diyah : 27/10/2010.